Sabtu, 31 Januari 2009

Syeikh Yusuf Makasar

Syeikh Yusuf lahir tahun 1036 H/1627 M. Jika kita dahulukan catatan tahun Masihi, bererti Syeikh Yusuf lahir 1626 M/1035 H. Dari sini dapat dibuktikan bahawa yang telah ditulis selisih selama setahun. Apa yang betul secara pasti tahun kelahiran Syeikh Yusuf terdapat dua perbandingan tahun 1036 H = 1627 M dengan tahun 1626 M = 1035 H. Saya berpendapat, oleh sebab masyarakat Islam zaman itu menggunakan tahun Hijrah maka catatan yang betul adalah 8 Syawal 1036 H/23 Jun 1627. Catatan tahun wafat Muhammad Baqi Billah al-Lahori juga ada dua. Ada orang yang menyebut tahun 1012 H/1603 M, ada pula yang menyebut tahun 1013 H/1604 M).

Rasanya saya masih berkemampuan mengemukakan hujah-hujah ilmiah untuk meniti kebenaran dan pembelaan atas tulisan-tulisan saya supaya dapat dipelajari oleh pihak-pihak yang memerlukannya. Mohd Nasir menulis dalam kertas kerjanya hlm. 15, “... dan juga kesilapan mengidentifikasikan antara dua individu yang berlainan (antara Syeikh Abdul Baqi al-Mizjaji dengan Muhammad Abdul Baqi / Baqi Billah al-Lahori) telah membawa pengertian yang salah bagi pihak ustaz Wan Mohd. Shaghir sehingga beliau mengatakan ketika menerangkan Tarekat Naqsyabandiyyah yang dibawa oleh Syeikh Ismail al-Minankabawi bahawa Syeikh Muhammad Baqi Billah al-Lahori adalah guru kepada Syeikh Yusuf al-Mankatsi (al-Maqassari) Taj al-Khalwati.”

Kenyataan Syeikh Muhammad Baqi Billah al-Lahori adalah guru kepada Syeikh Yusuf al-Mankatsi bukanlah merupakan pendapat saya, tetapi adalah berdasarkan beberapa manuskrip yang tersebut di bawah ini.

Rujukan yang pertama ialah manuskrip Kitab Ar-Risalah an-Naqsyabandiyah Yusuf li al-Qadhi Bilad Buni (maksudnya: Bone, Sulawesi Selatan, pen:), koleksi saya sendiri, ditulis dalam bahasa Arab. Terdapat salasilah lengkap Tarekat Naqsyabandiyah, disebut nama gurunya Mahdi az-Zaman al-Khuji Muhammad al-Baqi al-Lahuri (Lahore, India, pen:). Diperkukuhkan lagi dalam manuskrip Zubdah al-Asrar fi Tahqiq Ba'dhi Masyarib al-Akhyar, juga koleksi peribadi saya sendiri, beliau tulis nama selengkapnya Syaikhuna (maksudnya guruku, pen:) al-Imam Muqtadha al-Anam al-Wali al-Arif Billahi Taala Maulana asy-Syeikh Muhammad Baqi an-Naqsyabandi al-Yamani. Diperkukuhkan lagi dalam manuskrip Zubdah al-Asrar, manuskrip Universiti Leiden Or. 7025 disebut oleh Nabilah Lubis dalam buku Syeikh Yusuf, Al-Taj Al-Makasari hlm. 132 pada catatan nota hujung nombor 55, menggunakan nama Maulana asy-Syeikh Muhammad al-Baqi Billah.

Ia juga menggunakan nama yang sama iaitu Maulana asy-Syeikh Muhammad Baqi an-Naqsyabandi al-Yamani, hlm. 114 teks Arab dan hlm. 115 teks bahasa Indonesia. Dalam Zubdah al-Asrar, manuskrip dalam bahasa Jawa, Naskhah Jakarta A 45, nama yang disebut juga sama iaitu Syeikh Muhammad Baqi Naqisybandi Tariqatane, Yamani Desane.

Hamka dalam Dari Perbendaharaan Lama menggunakan nama Abi Abdillah Muhammad Abdul Baqi (hlm. 40). Terkini, baru-baru ini (April 2006), Syamsul Bahri Andi Galigo dalam kertas kerjanya juga menggunakan nama Syeikh Abu Abdillah Muhammad Abdul Baqiy (Prosiding Nadwah Ulama Nusantara III, hlm. 641). Tidak satu nama pun daripada rujukan-rujukan di atas menyebut nama Syeikh Abdul Baqi al-Mizjaji (hlm. 15) ataupun Muhammad bin Muhammad al-Mizjaji al-Yamani (hlm. 16) seperti yang disebut oleh Mohd. Nasir.

Walau bagaimanapun, saya tidak menafikan memang ada karya Syeikh Yusuf selain yang disebut itu memakai ‘al-Mazjaji’ (al-Mizjaji) pada hujung nama, selengkapnya seperti Syeikh Abu Abdullah Muhammad Abdul Baqi bin Syeikh al-Kabir al-Mazjaji (al-Mizjaji) al-Yamani az-Zaidi an-Naqsyabandi.

Nama ini beliau sebut dalam karyanya judul Sainah an-Najah, juga disebut oleh Prof. Dr. Tudjimah dalam buku Syeikh Yusuf Makasar, Riwayat dan Ajarannya (hlm. 16 dan 202). Bagi saya, masih dalam ‘kemungkinan’ ada dua nama yang serupa atau hampir serupa dalam satu zaman, yang seorang terdapat pada hujung namanya ‘al-Mazjaji’ (al-Mizjaji) dan yang seorang lagi tidak. Saya anggap yang terdapat ‘al-Mazjaji’ (al-Mizjaji) pada hujung nama masih sangat lemah kerana sepanjang penelitian saya tidak seorang pun penulis yang menyebut tahun lahir ataupun tahun wafatnya.

Mohd. Nasir dalam kertas kerjanya juga tidak menyebut tahun lahir ataupun tahun wafat ‘al-Mazjaji’ yang dikemukakannya sebagai guru Syeikh Yusuf Taj al-Khalwati. Perkara itu serupa dengan nama sehingga meragukan dan timbul pertanyaan apakah hanya seorang tokoh atau dua orang, atau lebih, bukan berlaku terhadap ulama yang diriwayatkan di atas saja, tetapi juga terjadi pada ulama-ulama lain. Sebagai contoh Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri ataupun Syeikh Abdur Rauf Singkel.

Apakah hanya seorang Syeikh Abdur Rauf atau dua orang? Perkara ini termasuk dalam polemik antara Prof. Dr. Hamka dengan Ir. Mangaradja Onggang Parlindungan. Sangat panjang bicaranya dalam buku Buya Hamka berjudul Antara Fakta dan Khayal Tuanku Rao terbitan Bulan Bintang, Jakarta, 1971.

Ada pun nama yang disebut dalam salasilah Syeikh Ismail al-Minankabawi dalam konteks yang dipersoalkan ialah asy-Syeikh al-Imam Muhammad Baqi Billah yang dapat dirujuk selengkapnya dalam ar-Rahmah al-Habitha fi Zikr Ism az-Zat wa ar-Rabithah (Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1425 H/2004 M, hlm. 83). Masih banyak perkara dalam kertas kerja Mohd. Nasir perlu saya bahas tetapi kerana kekurangan ruangan terpaksa saya tinggalkan saja, dan akan saya bahas lebih lengkap dalam buku tentang Syeikh Yusuf

Tiada ulasan: