Isnin, 11 Ogos 2008

Syeikh Abdul Rauf Al Fansuri

Nama penuh Syeikh Kuala ialah Abdurrauf dan ditimangkan dengan nama Syeikh Amiruddin Syeikh Abdurrauf Al-Fansuri As-Singkly. Beliau lahir pada 1001 H (1593 M) di Singkel sebuah perkampungan di pesisir pantai di Aceh. Ayahnya bernama Ali Al-Fansuri merupakan pengasas Sekolah Agama Dayah Simpang Kanan dan seorang ulama terkenal di daerahnya.
Fansuri di hujung namanya adalah sempena nama salah seorang idola (gurunya), Hamzah Fansuri dan sekolah tempatnya mula-mula belajar. Abdurrauf berpengetahuan luas dalam serba serbi cabang ilmu. Beliau menguasai ilmu fikah, tasauf, mantik, falsafah, hukum, kaji alam dan sebagainya. Beliau adalah gedung ilmu kepada masyarakat Aceh khususnya pada zaman Sultan Safiatuddin Johan Berdaulat (1641 -1675).
Malah pada zaman pemerintahan tiga ratu yang akhir (pemerintah Raja Perempuan); Nurul Alam, Zakiatuddin dan Kamalat Syah, Abdurrauf bertindak menjadi pemerintah di belakang tabir. Atas kapasitinya sebagai Kadi Malaliku Adil (Kadi Besar) beliau yang memutuskan segala hukum dan menjadi penasihat atau tempat rujukan utama kepada pemerintah. Beliau mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri di Dayan (Madrasah) Simpang Kanan, di kawasan pedalaman Singkel. Selepas itu ke sekolah tinggi di Barus (Dayan Tengku Chik) yang dipimpin oleh Hamzah Fansuri. Di sekolah ini beliau belajar ilmu agama, sejarah, mantik, falsafah, sastera Arab/Melayu dan juga bahasa Parsi.
Setelah tamat belajar di sekolah berkenaan beliau meneruskan pengajian ke sekolah Samudra Pase yang dipimpin oleh Syeikh Syamsuddin As Samathrani, salah seorang ulama yang juga merupakan pengikut kepada Hamzah Fansuri yang beraliran atau berfahaman `wahdatul wujud'.
Sewaktu Syamsuddin diangkat menjadi Qadli Malikul Adil (Kadi Besar) pada zaman Sultan Iskadar Muda Darma Wangsa Perkasa Alam Syah, Abdurrauf bertolak ke Mekah dan merantau ke beberapa buah negara Asia Barat lain untuk mendalami ilmu di sana. Semasa di Mekah beliau tinggal di Qusyasy dan belajar dengan Sheikh Sharifuddin Ahmad Al Dajaany Al Qusyasy (1583 - 1660) bertempat di rumah Aceh. Beliau dibantu oleh muridnya Sheikh Ibrahim Al-Kauraany (1616-1689).
Semasa di sini beliau bergaul dengan banyak ulama terkenal berasal dari Indonesia yang menuntut ilmu di sana, seperti Sheikh Nawawi Bantan, Sheikh Abdul Samad Petani dan lain-lain. Beliau juga sempat belajar dengan Sheikh Nuruddin Ar-Raniry semasa ulama terkenal dengan fahaman `wahdatul syuhud' itu berada di Mekah.
Beliau tinggal selama 19 tahun di Mekah. Pada tahun 1063 H beliau kembali semula ke Aceh. Dan apabila Nuruddin Ar-Raniry kembali ke Gujarat, India beliau dilantik menjadi Kadi Besar menggantikan Nuruddin. Sebelum pada itu Abdurauf menjadi mudir (guru besar) di Dayah Baiturrahman. Peranannya sebagai kadi cukup besar serta berpengaruh dan peluang ini secara tidak langsung membawa kepada kemajuan dan pengembangan Islam di Aceh, khususunya dan di Nusantara amnya. Aceh yang sudah dikenali dengan jolokan serambi Mekah terus diunggulinya.
Kombinasi beliau dengan Sutlan Iskandar Muda meletakkan Aceh di tempat tertinggi dalam peta Islam ketika itu. Keagungan ini begitu dijulang oleh warga Aceh sehingga terbetik kata di dalam bahasa Aceh berbunyi ``Adat bak peutus Merehum, syarak bak Syikeh di Kuala'' maksudnya, ``Adat di bawah kekuasaan almarhum (raja), semantara syariat (Islam) di bawah Syeikh Kuala.
Musnah
Ayat ini mejelaskan betapa besarnya kuasa, peranan dan pengaruh Abdurrauf dalam pemerintahan ketika itu yang hampir sama besar dengan kuasa sultan. Ketika gabungan antara umara dan ulama inilah juga Aceh mencapai kegemilangan. Sementara itu Hamka yang juga ahli filsofi dan ulama moden Indonesia, di dalam tulisannya pernah menurunkan sebaris kata-kata yang dinukilkan oleh Fakih Shaghir seorang ulama terkenal di zaman Perang Paderi, iaitu nenek kepada Sheikh Taher Jalaluddin az-Azhari (meninggal dunia pada tahun 1956 di Kuala Kangsar), yang berbunyi:
``Maka adalah saya Fakih Shaghir menerima ceriteria daripada saya punya bapa, sebabnya saya mengambil pegangan ilmu hakikat, kerana ceriteria ini adalah ia setengah daripada adat dan tertib waruk orang yang mengambil fatwa juga adanya. Yakni adalah seorang aulia Allah dan khutub lagi kasyaf lagi mempunyai keramat iaitu, di tanah Aceh iaitu Tuan Syeikh Abdurrauf.''
Daripada sebaris kata-kata itu dapat disimpulkan bahawa martabat dan darjat Syeikh Kuala, (Abdurrauf) itu bukan kepalang. Beliau adalah seorang ulama yang bertaraf wali dan mendapat keberkatan begitu tinggi di sisi Allah. Walaupun beliau dianggap sebagai ulama yang mempunyai karamah dan diberikan berbagai-bagai keistimewaan (maunah) oleh Allah, tidak banyak karamah yang berunsur karut marut (khurafah) atau di luar pemikiran manusia dinukil pada kanvas kehidupannya. Mungkin perkara ini disembunyikan untuk tidak menimbulkan riak dan kekeliruan kepada umum.